Followers

Friday, 23 December 2011

Malaysia's Queen Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah

Assalamualaikum w.b.t...



Dikesempatan ni, saya nak bercerita dan berkongsi berkenaan salasilah Raja-raja permaisuri di malaysia yang saya pilih kali ini.. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.
Kerana perwatakan Permaisuri, cara pemakaian, dan budi pekerti Permaisuri Nur Zahira(Sultanah). menarik minat saya untuk menghasilkan entry khas berkenaan salasilah Sultanah Terengganu ni..Daulat Tuanku!


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah telah diputerikan pada tanggal 7 Disember 1973 bersamaan 12 haribulan Zulkaedah, 1393. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St Nicholas Convent, Alor Setar dan menyambung pengajian menengah di Sekolah Menengah St Nicholas Alor Setar, Kedah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 4 Disember 2006 bersamaan 13 Zulkaedah 1427 Hijrah, di Dewan Sultan Mizan KUSTEM, Terengganu. Penganugerahan ini adalah sebagai suatu pengiktirafan terhadap usaha dan sumbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah dalam menguruskan kerja-kerja amal di seluruh Terengganu.



Gandik diraja atau pemeles ini ialah merupakan pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. gandik ini dipakai Paduka Baginda dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja.

Kalung Diraja ialah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Kalung ini boleh dicerai menjadikan sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

Detik bersejarah telah dicatatkan iaitu pada tanggal 28 Mac 1996, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah selamat diijabkabulkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin. Pada masa berkenaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu. Perkahwinan bahagia Baginda menjadi lebih sempurna dengan dikurniakan empat orang cahaya mata sebagai tanda pengikat kasih Diraja. Dengan dianugerahkan, dua orang Puteri dan dua orang Putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah 10 (18 haribulan Disember, 1996), Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Muhammad Ismail 8 (1 haribulan Mac, 1998), Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az 6 (22 haribulan Disember 2000) dan Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ 4 (19 haribulan April 2002) tahun.


Baginda Sultanah telah dimasyhurkan sebagai Permaisuri pada tanggal 12 Julai 1998. Serentak dengan itu, gelaran Permaisuri yang di sandang sejak 1998 telah digantikan dengan gelaran baru iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah pada 5 Jun 2006. Baginda telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T) pada 9 Julai 1998, Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (D.K) pada 16 Januari 1999 dan Darjah Kebesaran Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z).


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan Sultanah yang menitikberatkan pendidikan keagamaan dalam keluarga Diraja Terengganu. Sesungguhnya, dalam usia yang begitu muda baginda telah mengasuh paduka anakanda untuk turut serta bagi bersama-sama menunaikan fardu haji, mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Dengan demikian amalan mengerjakan umrah pada setiap tahun menjadi sebahagian daripada aktiviti tahunan bagi keluarga Diraja Terengganu.

Sesungguhnya Baginda Sultanah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanmengambil pendekatan sikap sederhana, keterbukaan dan amalan perbincangan sebagai wahana dalam memupuk ikatan keharmonian semangat kekeluargaan. Sebagai bonda yang prihatin dalam merangka masa depan pendidikan paduka anakanda, Baginda Sultanah sambil direstui oleh Kebawah Duli Tuanku Sultan begitu menitikberatkan pemupukan nilai agama yang seiring dengan penyuburan nilai-nilai tradisi, adat dan budaya Melayu. Gabungan nilai agama dan nilai tradisi Melayu inilah yang menjadi inti pati serta pedoman baginda Sultanah dalam mendidik dan mengasuh paduka anakanda.



Bahawasanya Baginda Sultanah juga begitu menyenangi dan menyayangi kanak-kanak. Manifestasi daripada nilai kelembutan seorang wanita dan sebagai seorang bonda keluarga Diraja, Baginda Sultanah sentiasa peka dengan perkembangan semasa terutama yang berkaitan dengan lingkaran kehidupan kanak-kanak. Justeru itu Baginda Sultanah sentiasa memastikan bahawa Baginda akan mengikuti perkembangan ilmu dengan mengemaskinikan diri menelaah bahan bacaan ilmiah yang berkaitan dengan perkara berkenaan. Baginda Sultanah memfokuskan penelitian Baginda pada elemen berkaitan perkembangan minda (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) kanak-kanak. Minat Baginda Sultanah semakin bercambah semenjak mempunyai pengalaman sendiri yang dituangkan dalam mendidik paduka anakanda.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah sentiasa tertib dalam menjaga keterampilan sesuai dengan kedudukan diri Baginda sebagai seorang Sultanah. Keperibadian diri sebagai wanita Timur yang mengutamakan sopan santun dan kelembutan adat budaya Melayu tidak dilupakan biarpun bergelar seorang Sultanah negeri Terengganu. Begitu juga dalam konteks etika sosial Baginda Sultanah lebih mengutamakan kepada nilai keikhlasan dalam jalinan hubungan silaturahim. Kaya dengan kuntuman senyum sudah menjadi satu simbol yang sering dikaitkan dengan diri Baginda Sultanah semasa tampil bersemuka dengan golongan rakyat. Sayugia diingat, Baginda sangat prihatin dalam mengambil kira permasalahan hidup rakyat terutama isu yang bersangkutan dengan hal ehwal wanita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Baginda Sultanah bersifat wanita Melayu moden yang berjiwa rakyat.


Sesungguhnya kehidupan di istana tidak membatasi pergerakan Baginda Sultanah dalam menjana hubungan dengan rakyat menerusi aktiviti-aktiviti amal dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan. Dorongan dan galakan Baginda diperlihatkan dengan keterlibatan Baginda Sultanah sendiri sebagai salah seorang jentera penggerak sesuatu aktiviti, persatuan atau pertubuhan di negeri Terengganu. Malah sebagai tanda kasih dan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa tsunami, Baginda Sultanah memainkan peranan utama dalam mendapatkan kutipan tersebut. Sumbangan yang diperolehi telah berjaya diserahkan kepada Pemerintah Kerajaan Acheh dan kerajaan Negeri Kedah. Selain itu Baginda Sultanah terlibat dalam pelbagai pogram sumbangan dan bantuan kepada golongan rakyat daif dan golongan kurang upaya. Khususnya pada hari keputeraan Kebawah Duli Yang Mulia Tuanku Sultan yang ke empat puluh empat pada tahun 2006, Yayasan Diraja Sultan Mizan menerusi Baginda Sultanah telah menyampaikan sumbangan peralatan botol-botol susu khas bagi bayi sumbing dan alat breast pump bagi ibu-ibu bayi dalam masalah berkenaan serta alat bantuan penglihatan melalui Hospital Sultanah Nur Zahirah.

To' Puan Seri Hajah Nur Rahmah - Bonda kepada Sultanah Nur Zahirah..




Baginda Sultanah adalah penaung bagi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu atau PERKAYA serta Persatuan Hospis Terengganu. Baginda juga bergerak cergas dalam aktiviti beruniform seperti penaung Persatuan Pandu Puteri Negeri Terengganu serta penaung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu. Baginda Sultanah juga sebagai petron Tadika An Nuryang terkenal di Terengganu. Pada hakikatnya, sejarah Tadika An Nur bermula dengan rancangan Baginda Sultanah untuk memberi pendidikan pra sekolah kepada paduka anakanda yang kemudiannya diperluaskan untuk penyertaannya umum.


Dalam kesibukan Baginda menjalankan tugas sebagai Sultanah Negeri Terengganu, isteri dan bonda kepada empat cahaya mata Baginda Sultanah juga menaruh minat yang mendalam terhadap bidang hiasan dalaman. Baginda mementingkan ruang yang kemas dengan persekitaran teratur, sempurna dan bersih. Dengan minat dan kemahiran yang dimilikinya, Baginda Sultanah banyak melakukan sendiri kerja-kerja hiasan dalaman pada kediaman Baginda. Selain kecenderungan Sultanah terhadap kerja-kerja mereka bentuk hiasan dalaman terdapat satu lagi cabang kemahiran yang dimiliki oleh Baginda Sultanah iaitu aktiviti masak memasak. Baginda Sultanah cekap dalam membahagikan waktu untuk mencari kesempatan memasak untuk santapan ahli keluarga tercinta, terutama dalam menyediakan hidangan kegemaran paduka anakanda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.














Koleksi handbag berjenama Hermes kepunyaan Sultanah Nur Zahirah..




Kehidupan sebagai seorang Sultanah tetap memberikan ruang kepada Baginda untuk memperuntukkan waktu bagi aktiviti-aktiviti peribadi yang bercorak riadah dan pengembaraan untuk mengisi masa lapang dengan senamrobik, brisk-walking dan sebagainya. Aktiviti lawatan dan melancong secocok dengan jiwa kembara dalam diri Baginda Sultanah, dapat menjadi pengalaman berharga sebagai bekal dalam menghadapi dan menangani permasalahan rakyat di luar istana. Begitu juga Baginda Sultanah tidak alpa dalam memberi dorongan dan galakan kepada Baginda Sultan dan pasukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam apa jua aktiviti sukan yang diceburi Baginda Sultan khususnya sukan berkuda.



Terima kasih kami ucapkan dan Semoga Permaisuri Nur Zahirah(Sultanah) sentiasa dirahmati, diberi kesihatan dan kekuatan oleh Allah s.w.t. supaya dapat meneruskan bakti kepada bangsa dan negara malaysia..insyaAllah...aminn.

Sultanah Nur Zahirah akan sentiasa menjadi contoh dan teladan yang baik kepada semua umat islam di seluruh malaysia ini, diumpamakan seperti padi...semakin berisi semakin tunduk ke bumi, semakin tinggi darjat dan semakin berilmu semakin merandah diri...itulah sifat terpuji yang ditunjukkan oleh Sultanah Nur Zahirah..
DAULAT TUANKU!

No comments:

Post a Comment