Tunku Hajah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Yang di-Pertuan Agong : Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah
Negeri : Kedah
Kelahiran : 24 Ogos 1930 Seri Menanti, Negeri Sembilan
Kemangkatan : 25 Ogos 2003 Istana Kuala Cegar, Alor Star,Kedah
Mula jawatan : 21 September 1970 hingga 20 September 1975
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Bahiyah diputerikan pada 24 Ogos 1930 di Seri Menanti, dan merupakan puteri sulung DYMM Yang di-Pertuan Besar dan DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan, yang kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Pertama. Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Melayu di Seri Menanti dan Sekolah Convent Seremban. Baginda melanjutkan pelajaran di United Kingdom dan memperoleh ijazah dan bidang Sains Sosial dari University of Nottingham.
Seri Paduka Baginda berkahwin dengan Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Mac 1956 dan pasangan Diraja ini dikurniakan tiga orang puteri, dua daripadanya kembar : YM Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz, YM Dato’ Seri Tunku Soraya dan Y.M. Tunku Sarina (mangkat pada 31 Ogos 1991).
Baginda ditabalkan sebagai Sultanah pada 20 Februari 1959. Pada 23 September 1970 Seri Paduka Baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong Malaysia apabila Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5.
Seri Paduka Baginda dianugerahkan pelbagai anugerah dari dalam dan luar negeri. Pada 1970, Maharaja Hirohito Jepun menganugerahi baginda The First Class Order of Sacred Treasure. Pada tahun yang sama, Presiden Soeharto Indonesia menganugerahkan Bintang Maha Putera Kelas Satu.
Seri Paduka Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan oleh Universiti Malaya dan baginda menjadi Canselor dari 1972 hingga 1986. Baginda terkenal atas sumbangan kurnia baginda kepada masyarakat, terutama kepada kebajikan mereka yang kurang bernasib baik, kanak-kanak dan orang-orang tua. Untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada pelbagai pertubuhan amal dan kebajikan sebuah yayasan kebajikan, sebuah yayasan kebajikan yang dinamai “Yayasan Sultanah Bahiyah” ditubuhkan dengan Seri Paduka Baginda menjadi Penaung dan penggerak utamanya.
Seri Paduka Baginda pernah menjadi Penaung pelbagai pertubuhan seperti Persatuan Orkid Kedah; Persatuan Penderma Darah Malaysia; Persatuan Perancang Keluarga Kedah; Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Kedah; Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Kedah; Kelab Lioness Kedah; Persatuan Bola Jaring Kedah, Persatuan Wanita Universiti Utara Malaysia (SUTRANITA): Persatuan Graduan Nottingham; Persatuan Balu dan Isteri Bekas Perajurit (BAKIABAH): Persatuan Orang Kurang Upaya Kedah; Persatuan Thallasaemia Kedah; dan Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah.
No comments:
Post a Comment