Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail
Yang di-Pertuan Agong : Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
Negeri : Perlis
Kelahiran : 28 Mac 1924 Kuala Krai, Kelantan
Kemangkatan : 28 November 2008
Mula jawatan : 21 September 1960 hingga 20 September 1965
Seri Paduka Baginda Tengku Budriah diputerikan di Kuala Krai, Kelantan pada 28 Mac 1924. Baginda memperoleh pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Krai dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Kuala Krai. Seterusnya baginda meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Ipoh pada tahun 1935.
Seri Paduka Baginda Tengku Budriah berkahwin dengan Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra pada tahun 1941 ketika baginda berusia 17 tahun. Baginda berdua dikurniakan 10 anakanda, lima putera dan lima puteri.
Pada 12 Mac 1949 apabila Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Perlis, baginda Tengku Budriah turut ditabalkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Seri Paduka Baginda sangat giat mengambil bahagian dalam pertubuhan amal untuk kemajuan dan kebajikan wanita. Baginda dilantik sebagai Penaung kepada pelbagai pertubuhan dan persatuan, dan pada hari ini baginda masih menjadi Pengerusi Taman Asuhan Darulfarah Tengku Hajah Budriah, Perlis dan menjadi Timbalan Presiden Majlis Kebajikan Wanita Islam Malaysia.
Apabila Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-3, Seri Paduka Baginda Tengku Budriah turut ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan baginda berdua berpindah ke Istana Negara, Kuala Lumpur.
Baginda adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.
Semasa menjadi Raja Permaisuri Agong, Seri Paduka Baginda telah dianugerahkan pelbagai darjah dan pingat kebesaran. Antaranya ialah D.K., S.S.P.J., S.M.N., A.M.N., S.P.M.K. dan juga anugerah dari Thailand, Kemboja, Jepun, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu.
Baginda dikhabarkan telah mangkat pada 3.47 pagi di Hospital Kuala Lumpur pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Menteri BesarPerlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.
Jenazah almarhum diterbangkan dari Lapangan Terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari tersebut sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar pada hari yang sama.
Bagi menghormati kemangkatan tersebut bendera negeri telah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari kemangkatan dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment